BEIJING – Seorang pekerja kesihatan di Shanghai dirakam mengejar seekor anjing peliharaan baka corgi dan memukulnya dengan penyodok sehingga mati kerana pemiliknya dijangkiti Covid-19, lapor portal berita MailOnline semalam.
Sebuah klip video menunjukkan seorang pekerja pencegahan Covid-19 yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) mengejar anjing kecil itu di sebatang jalan di kawasan perumahan daerah Pudong.
Anjing itu dilihat cuba bersembunyi di belakang kereta tetapi pekerja itu menerjah ke hadapan dan memukul anjing itu tiga kali menggunakan penyodok besar. Ia kemudian dilihat terbaring tidak bergerak di atas jalan dan bangkai anjing itu kemudian dimasukkan ke dalam beg kuning.
Rakaman serangan itu tular di laman sosial Weibo dan mencetuskan kemarahan penduduk tempatan yang semakin kecewa akibat sekatan yang teruk dengan kekurangan makanan dan keperluan asas.
Gambar menunjukkan anjing itu sebelumnya mengejar bas yang dikatakan membawa pemiliknya ke pusat kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Pemilik anjing itu melepaskannya ke jalan raya selepas mereka tidak dapat menemui sesiapa untuk menjaganya semasa dikuarantin, lapor majalah China News Weekly.
“Kami berharap untuk membiarkan ia keluar dan menjadi seperti anjing liar. Kami tidak mahu ia mati kelaparan.
“Selagi boleh hidup, ia akan menjadi baik-baik sahaja. Kami tidak pernah menjangka bahawa ia akan dipukul hingga mati sebaik sahaja kami pergi,’’ tulis pemilik anjing itu di laman sosial Weibo.
Pemilik itu kemudian mendakwa bahawa jawatankuasa kejiranan enggan menjaga anjingnya manakala pihak berkenaan berkata mereka bimbang ia mungkin juga dijangkiti. – Agensi