PUTRAJAYA – Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 dilihat bakal memberi banyak faedah sosioekonomi kepada negara termasuk mencipta sebanyak 33,391 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut merangkumi pekerja berkemahiran tinggi (5,968), separuh mahir (24,755), dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang selain bakal menyumbang sebanyak RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh sama.
“Kita telah membincangkan tentang pelan hala tuju ini menerusi Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun 2022 semalam dan bersetuju ia wajar diaplikasikan kepada pelbagai industri, selari dengan Revolusi Industri 4.0.
“Pembangunan produk nanoteknologi seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global yang akan melonjakkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat tersebut, turut dibincangkan adalah tentang pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.
“Mesyuarat juga telah membincangkan penawaran dan permintaan dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk
meningkatkan daya saing STI negara.
“Kerajaan memandang serius jumlah pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini adalah pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus. Minat pelajar dalam bidang ini perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan (KPM) diarah untuk menerajui Hala Tuju STEM,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa mesyuarat itu turut menyentuh tentang kepentingan untuk mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).
“Usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini adalah satu langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian
teknologi tempatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat juga bersetuju untuk menambah baik struktur tadbir urus Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dengan Jawatankuasa Task Force NTIS diubah nama kepada Jawatankuasa Pemandu NTIS manakala Majlis NTIS dimansuhkan dan digantikan pelaporan kepada NSC
“Pelaporan NTIS dijadikan sebagai agenda tetap dalam mesyuarat NSC bagi mengurangkan pertindihan dengan majlis sedia ada memandangkan NSC turut dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut dipersetujui adalah Jawatankuasa Task Force NTIS baharu diwujudkan dan dipengerusikan oleh Setiausaha MOSTI,” jelas beliau.- KOSMO! ONLINE