KUANTAN – Jiran mangsa yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Padang Perdana di sini masih terkenang detik cemas jeritan mangsa meminta tolong ketika rumahnya terbakar semalam.
Dalam Kejadian di rumah didiami enam sekeluarga itu telah mengorbankan pesara tentera laut, Mohd Asri Idris, 39. Anak si mati, Muhammad Aqid Aisy, 8, dilaporkan cedera.
Jiran mangsa, Yusni Mohd Azni, 20, berkata, ketika kejadian, dia yang sedang bersiap untuk keluar bersama ahli keluarga didatangai isteri lelaki itu, Nor Atikah Adnan, 39, menjerit meminta tolong dengan memberitahu rumahnya terbakar.
“Saya bersama ayah segera membantu memadamkan kebakaran menggunakan baldi manakala ibu pula memanggil jiran lain untuk membantu. Ketika itu kami mendapati arwah (Mohd Asri) berada di dalam rumah hendak memadam api.
“Asap terlalu tebal dan api juga marak. Arwah dikatakan berada di dalam bilik air dan mungkin cuba keluar. Ayah cuba memanggil nama arwah namun lama-kelamaan dia sudah tidak menyahut,” katanya di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE