fbpx

Mahal boikot, tak sedap masak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Makanan yang ditularkan hancur dan mentah dijual di bazar Ramadan.

Sejak awal Ramadan, ramai orang mengeluh dan membebel harga makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadan ‘cekik darah’ kerana semakin mahal.

Kebanyakan pengguna mendakwa peniaga sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga juadah berbuka puasa tahun ini ketika bazar Ramadan dibanjiri pe­ngunjung selepas dua tahun dilanda pandemik.

Ramai berkongsi rasa tidak puas hati di media sosial dengan mendakwa makanan dijual pada harga tidak masuk akal.

Sebagai contoh, sebekas nasi tomato berharga RM10 dan seketul ayam percik dijual pada harga sehingga RM10.

Bagi golongan peniaga, kenaikan harga bahan mentah menjadi punca mereka terpaksa menaikkan harga jualan selain menanggung kos pekerja, pengangkutan dan sewa tapak bazar Ramadan.

Ada peniaga yang tidak sampai hati menaikkan harga kerana sedar akan membebankan pengguna, jadi mereka mengecilkan saiz hidangan.

Ketika ini, harga barang ke­perluan melonjak dan dijangka meningkat lagi menjelang Aidilfitri, cerita sama setiap tahun walaupun pihak tertentu mendakwa masih terkawal dan dalam pemantauan.

Bukan sahaja peniaga yang terkesan dengan kenaikan harga barang, malah pengguna juga. Duit RM50 tiada lagi besar nilainya sekarang.

Semua orang sedar harga barang semakin meningkat sejak awal tahun ini apabila banyak sektor ekonomi telah dibuka.

Jadi, tidak adil jika kita menuduh semua peniaga di bazar Ramadan ingin cepat kaya, untung besar dan boleh pergi haji balik hari dengan menaikkan harga kerana rantaian ekonomi itu panjang.

Peniaga adalah orang terakhir yang terpaksa menadah muka kepada pelanggan. Mereka baru sahaja bangkit untuk hidup selepas lebih dua tahun suram akibat pelbagai sekatan ketika pandemik Covid-19.

Sepanjang Ramadan ini, mereka bolehlah mencari rezeki untuk menyambut hari raya nanti. Berbeza dengan penjawat awam dan pekerja swasta, setiap bulan makan gaji, tak lama lagi dapat bonus RM500 dan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sehingga RM10,000.

Jadi, tidak salahnya kita membantu peniaga-peniaga di bazar Ramadan. Jika terlampau mahal, boikot sahaja ­gerai itu. Banyak lagi peniaga lain ada atau laporkan ­kepada pihak berkuasa. Usah membebel sampai ke hari raya, sedangkan setiap hari masih bersesak di bazar ­Ramadan.

Jika makanan yang dijual pula tidak sedap, balik rumah masak sendiri kerana sekarang ramai peniaga ‘jadian’, baru cuba-cuba berniaga. Jangan mulut kita rancak membebel tetapi pada masa sama kedua-dua belah ta­ngan penuh dengan juadah berbuka puasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI