LAGU Up At Night bukanlah projek kolaboratif perdana antara putera pop, Justin Bieber dengan penyanyi yang suaranya andai listrik vokal diterjemahkan dalam istilah kulinari seperti mentega premium iaitu Kehlani.
Sungguhpun begitu, Up At Night menghadirkan rasa seolah-olah baru pertama kali dua bintang itu bersatu dalam satu antem muzik sedangkan dua tahun lalu, mereka pernah menyatu dalam lagu Get Me yang dimuatkan dalam album berjudul Changes.
‘Vibe’ 1990-an
Dalam lagu Get Me, Bieber mengundang pemilik nama lengkap Kehlani Ashley Parrish itu menyesuaikan diri dengan baik dan mengikut ‘jejak’ dan jalur muziknya. Kali ini, situasi tersebut sepertinya terbalik.
Bieber menyelinap masuk dalam jalur muzik Kehlani yang sangat menenangkan cuping telinga. Itu sememangnya signatur muziknya yang membuatkan ramai pendengar jatuh hati termasuklah penulis.
Dari segi komposisi muzik, Up At Night sangat istimewa kerana mempunyai ‘vibe’ bunyi 1990-an dengan ‘twist’ atau pusingan moden. Itu merupakan kualiti yang sangat mudah mencuri hati para pendengar masa kini.
Kalau kalian membesar pada era 1990-an, lagu Up At Night mengingatkan kita terhadap lagu lama berjudul Top Of The World nyanyian penyanyi kulit hitam, Brandy.
Sangat mesra telinga dan mudah membuatkan sesiapa jatuh suka.
Tentang Kehlani, penyanyi itu sememangnya jarang membikin karya yang tidak sedap. Bukan bersifat bias tetapi kebanyakan lagu nyanyian dan ciptaannya, indah, nyaman dan tidak menghampakan.
Kehlani menunggu masa sesuai untuk benar-benar berpijak dalam gelanggang arus perdana kerana sejujurnya, dia memiliki kualiti yang layak untuk dijulang tinggi. Tinggal lagi, belum sampai ‘jongkong emas’ yang benar-benar melaungkan betapa besarnya bakat nyanyian dan gubahan muzik terkandung dalam dirinya.
Keserasian vokal
Dari segi keserasian vokal, Kehlani dan Bieber ialah rakan duet yang sepatutnya sering bekerjasama. Vokal mereka sangat cocok ibarat dua mentega premium bersatu dalam mangkuk dan membina satu perasaan luar biasa yang mudah dirasai peminat.
Bieber yang bakal membuat konsert solo di Kuala Lumpur menjelang Oktober depan semakin membuktikan kepada dunia bahawa dia selayaknya seorang vokalis hebat.
Bukan hanya merdu mengalunkan vokal, dia juga bijak bermain instrumen dan semua itu kian dibuktikan terutama pada Grammy Awards ke-64 baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, Up At Night merupakan penyatuan impian yang sekarang bertukar realiti baik, buat peminat Kehlani mahupun Bieber. Satu lagu bersifat ‘easy-listening’ yang mudah melekat di minda seluruh penggemar muzik.