fbpx

Usung warga emas keluar dari rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu, Tumpat hari ini.

TUMPAT – Tindakan pantas penduduk kampung berjaya menyelamatkan seorang warga emas daripada terperangkap dalam kebakaran melibatkan enam rumah di Kampung Dalam Rhu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, mangsa, Safiah Daud, 80-an tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun rumahnya hangus dalam kejadian tersebut.

Penghulu Mukim Kubur Datuk, Kampung Dalam Rhu, Rosli Mohd. Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku bermula dari sebuah rumah sebelum api merebak ke lima rumah lain.

Menurutnya, ketika kejadian, penghuni lima buah rumah itu dikatakan sedang berehat manakala sebuah lagi rumah tidak berpenghuni.

“Kesemua mangsa kelam kabut menyelamatkan diri semasa kebakaran sebelum ada antara mereka teringat mengenai keadaan Safiah yang tinggal di dalam rumahnya seorang diri.

“Mangsa kebakaran yang lain terus bergegas menyelamatkannya dengan mengusung warga emas itu keluar dari rumahnya ketika api sedang marak. Alhamdulillah, Safiah sempat diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon Bomba Kota Bharu, Penguasa Bomba Suhaimi Mahmood berkata, seramai 21 termasuk pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, BBP Pengkalan Kubor termasuk BBP Wakaf Bharu ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 1.43 petang.

Suhaimi berkata, semasa tiba di lokasi, api sedang marak membakar enam buah rumah namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Api marak dengan cepat disebabkan cuaca panas dan berangin selain kedudukan rumah penduduk agak rapat antara satu sama lain.

“Kebakaran enam buah rumah itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 2.11 petang. Punca kebakaan dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI