FRANKFURT – Ketua jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menyalahkan keadaan padang yang tidak sempurna selepas pasukannya sekadar seri 1-1 menentang Eintracht Frankfurt pada aksi suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Deutsche Bank Park awal pagi semalam.
Bagaimanapun, beliau tetap berasa lega dengan keputusan itu memandangkan pasukan tuan rumah lebih banyak mengancam pintu gol Barcelona apabila melakukan 16 percubaan keseluruhan sepanjang perlawanan.
Xavi berkata, keadaan padang yang tidak memuaskan sedikit sebanyak merencatkan corak permainan Barcelona, selain memberikan kelebihan kepada Frankfurt untuk melancarkan serangan balas pantas.
“Ia bukanlah satu perlawanan yang mudah untuk kami kerana memang sukar untuk menyekat serangan mereka, ditambah pula dengan keadaan padang kurang baik. Serangan balas pantas mereka cukup berbahaya.
“Saya sudah beri amaran lebih awal kepada semua pemain supaya berjaga-jaga kerana mereka bukanlah lawan yang mudah. Ini adalah bola sepak Eropah dan semua pasukan ada potensi untuk menang,” katanya.
Pada perlawanan itu, Frankfurt terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang, Ansgar Knauff pada minit ke-48 sebelum Ferran Torres mengikat kedudukan buat Barcelona di minit ke-66.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh pemain-pemain Barcelona. Aksi timbal balik nanti akan lebih sukar, tetapi kami akan ditemani ribuan penyokong sendiri di Camp Nou,” ujar Xavi. – AGENSI