VANCOUVER, Kanada – Satu kajian baharu mendapati pengambilan pil perangsang Viagra bagi menangani masalah disfungsi erektil (mati pucuk) boleh menjejaskan penglihatan manusia, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Pakar-pakar kesihatan di Kanada mendapati kekerapan mengambil Viagra boleh meningkatkan risiko tiga masalah mata yang serius.
Tiga ubat mati pucuk lain iaitu Cialis, Levitra dan Spedra juga dinamakan sebagai berpotensi pencetus masalah mata.
Pakar-pakar mendapati bahawa ubat itu boleh menyebabkan kehilangan penglihatan secara tiba-tiba, kilatan cahaya dan bintik gelap bagi mereka yang mengambilnya.
Fungsi pil Viagra yang meningkatkan pengaliran darah pada alat kelamin dalam masa yang sama, dikhuatiri boleh menghalang bekalan darah kepada mata.
Ketua Penyelidik kajian itu, Dr Mahyar Etminan yang merupakan pakar oftalmologi Universiti British Columbia berkata, pengguna Viagra yang mengalami masalah penglihatan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
“Ini adalah keadaan yang jarang berlaku dan risiko untuk mendapatnya adalah sangat rendah untuk mana-mana pengguna.
“Bagaimanapun, jumlah besar preskripsi yang dikeluarkan setiap bulan di Amerika Syarikat (AS) iaitu kira-kira 20 juta, bermakna ramai orang berisiko terjejas dengan kesan sampingan ini.
‘Pengguna tetap yang menyedari sebarang perubahan dalam penglihatan mereka perlu mengambil serius dan mendapatkan rawatan perubatan.’
Lebih 2.9 juta lelaki telah diberikan pil Viagra oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain pada 2016.
Kini, pil tersebut boleh didapati di farmasi tanpa sebarang surat rujukan daripada doktor.
Pengeluar pil Viagra, Pfizer sudah memberi amaran bahawa kemungkinan satu daripada 100 orang yang menggunakan Viagra akan mengalami kerengsaan mata, mata merah, sakit mata, melihat kilatan cahaya, kecerahan visual, kepekaan cahaya dan mata berair. – Agensi