KETUA jurulatih skuad hoki projek khas wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas menyaksikan kebangkitan anak-anak buahnya menewaskan Uruguay 2-1 awal pagi semalam.
Apa tidaknya, Malaysia yang terlebih dahulu ketinggalan, berjaya meledak dua gol pantas dalam tempoh seminit untuk mencatat kemenangan pertama di pentas Piala Dunia Hoki Remaja di Potchefstroom, Afrika Selatan.
Biarpun gagal ke suku akhir tetapi kemenangan di Stadium NWU itu membolehkan Malaysia mengelak daripada berada dalam kelompok tercorot dan bakal menentang Ireland untuk penentuan tempat kesembilan hingga 12 malam ini.
“Para pemain berhak meraikan kemenangan ini berdasarkan kesungguhan tinggi ditunjukkan mereka seperti juara sebenar. Inilah pasukan juara wanita kita pada masa depan.
“Merit juga harus diberikan barisan kejurulatihan termasuk staf sokongan ISN (Institut Sukan Negara) dan Paul Revington kerana menghabiskan banyak masa untuk memperkuatkan pasukan ketika jatuh.
“Kunci kemenangan juga disebabkan usaha, semangat dan keazaman tidak mahu menyerah kalah pemain-pemain. Kami akan terus mempersiapkan diri dengan lebih baik lagi untuk perlawanan seterusnya,” kata Nasihin.
Dalam aksi itu, Uruguay membuka tirai jaringan melalui Elisa Civetta (m-35) sebelum Siti Nur Arfah Mohd. Nor dan Nuramirah Syakirah Zulkifli memastikan kemenangan Malaysia pada minit ke-53 serta 54.
Lebih manis buat kem negara apabila Siti Nur Arfah dipilih selaku pemain terbaik perlawanan tersebut. – KOSMO! ONLINE