KUALA LANGAT – Penubuhan Jawatankuasa Menyegerakan Permohonan Kelulusan Pekerja Asing disifatkan langkah terbaik bagi mempercepatkan prosedur kemasukan pekerja asing di negara ini.
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, banyak industri termasuk berkaitan kementeriannya ketika ini berhadapan masalah tenaga kerja warga asing.
“Sebanyak 500,000 permohonan tertunggak ketika ini dengan industri seperti perabot amat memerlukan pekerja.
“Justeru, jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Sumber Manusia itu akan memastikan pemprosesan disegerakan untuk tindakan lanjut,” katanya selepas lawatan kerja di Syarikat Dynamic Furniture Sdn.Bhd. (FSB) di Olak Lempit hari ini.
Kata Zuraida, terdapat dua perkara lain juga ditimbulkan pemain industri seperti gaji minimum RM1,500 selain isu bayaran yuran perkapalan yang tinggi iaitu 40 peratus berbanding China.
Jelas beliau, kadar yuran tinggi menyebabkan pihak industri menghadapi kekurangan pesanan dari negara luar.
“Jadi, saya akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia (Datuk M. Saravanan) dan Menteri Pengangkutan, (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong) mengenainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE