ASPEK pemulihan dan kecergasan pemain menjadi antara kerisauan utama Sri Pahang untuk merealisasikan kebangkitan pada aksi menentang Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Terpaksa berehat lebih lama ekoran jangkitan Covid-19 ternyata memberi kesan kepada Tok Gajah apabila gagal menghadirkan kemenangan pada debut musim ini selepas tewas 1-0 kepada Kedah Darul Aman (KDA FC), Rabu lalu.
Pengendalinya, Christophe Gamel turut mengakui pemainnya berdepan kesukaran ketika menentang pasukan yang sudah pun mendapat peluang beraksi musim ini.
“Kami perlu terus bekerja. Sukar buat kami dan sekarang kami perlu berehat sebelum menghadapi PJ City yang sudah pun memiliki minit permainan pada musim ini.
“Kita lihat apa jadi kepada Terengganu FC, mereka juga sama seperti kami. Apa yang saya risau adalah proses pemulihan pemain dan kami perlu hormati semua pasukan,” katanya.
Gamel sebelum ini melabel pasukannya seakan ‘dirompak’, namun jurulatih itu berasakan tiada apa yang perlu dikesalkan oleh pemain dan melihat kekalahan kepada KDA FC sebagai titik kebangkitan Sri Pahang.
“Kita dapat lihat pemain memiliki kesungguhan, tidak mudah putus ada dan sudah pasti semangat beginilah yang kita mahu lihat. Kami juga perlu tingkatkan lagi aspek penyudah.
“Dengan apa yang sudah ditunjukkan oleh pemain, saya akan terus beri kepercayaan kepada mereka,” katanya.