PUTRAJAYA – Kementerian Luar hari ini memaklumkan bahawa dakwaan kononnya terdapat lebih 10,000 warga Malaysia yang terkandas di Thailand sejak dua tahun lalu adalah tidak berasas.
Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yakin jumlah sebenar yang berada secara tidak sah atau melebihi masa itu adalah jauh lebih kecil.
“Berdasarkan rekod kementerian dan pejabat diplomatik Malaysia di selatan Thailand itu, sehingga kini hanya terdapat 72 rakyat negara ini yang berdaftar dengan pihak konsulat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bilangan tersebut ujarnya, adalah sebahagian kecil daripada seramai 444 warga Malaysia yang memegang pas sempadan dan telah mendaftarkan diri dengan pihak konsulat di Songkhla.
Media tempatan sebelum ini dilaporkan mendakwa seramai 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Thailand kerana tidak dapat pulang semula ke tanah air.
Ia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dan diikuti penutupan sempadan antarabangsa Malaysia ketika itu akibat isu penularan pandemik Covid-19. -KOSMO! ONLINE