LEGENDA badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei mengakui, beliau ada menerima beberapa tawaran dari luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih.
Bagaimanapun, bekas pemain No.1 dunia itu menegaskan, beliau belum bersedia untuk menerima mana-mana tawaran yang dikemukakan biarpun sentiasa mengikuti perkembangan semasa sukan raket tersebut.
Menerusi satu status yang dimuat naik di laman media sosial Facebook malam kelmarin, Chong Wei menyatakan, beliau mahu terus berada di Malaysia dan enggan memikirkan mengenai bidang kejurulatihan.
“Memang benar saya ada menerima beberapa tawaran dan masih cintakan sukan badminton. Bagaimanapun, buat masa sekarang, saya tidak ada sebarang niat untuk menjadi jurulatih.
“Saya mahu terus berada di Malaysia bersama keluarga tersayang dan meluangkan masa bersama mereka. Saya juga mahu menikmati bazar Ramadan dan menunggu jemputan rumah terbuka hari raya,” katanya.
Sebelum ini, tersebar spekulasi yang mengatakan beberapa negara Asia sudah menghubungi Chong Wei bagi mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih, namun beliau masih belum memberi kata putus.
Sebagai rekod, beberapa jurulatih kelahiran Malaysia seperti Jeremy Gan, Lee Wan Wah, Tan Kim Her dan Wong Tat Meng sudah pun berkelana ke luar negara bagi mengembangkan karier kejurulatihan.
Khidmat Chong Wei pastinya ditagih pasukan luar negara berdasarkan reputasinya sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, selain digelar sebagai Raja Siri Super.