LONDON – Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel percaya Southampton akan terus menghukum pasukannya sekiranya mereka kekal dengan prestasi buruk seperti yang dipamerkan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid kelmarin.
The Blues yang kini merekodkan dua kekalahan berturut-turut di Stamford Bridge dengan tujuh bolos dalam dua aksi terdahulu selepas tewas 1-3 kepada Real dan 1-4 di tangan Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Bagi menyelesaikan masalah itu, Tuchel dikatakan bersedia dengan pendekatan baharu selepas mempelajari kesilapan besar apabila menggunakan formasi salah yang akhirnya menghukum pasukan.
“Jika kami terus beraksi seperti ini, kami akan tewas kepada Southampton dan seterusnya dihukum oleh Real di Santiago Bernabeu minggu depan. Kami perlu mencari penyelesaian dan saya tidak pasti kedudukan sebenar kami sejak berakhirnya tempoh rehat antarabangsa.
“Aksi bertemu Real ibarat detik ulangan seperti yang ditunjukkan dalam babak kedua ketika dibelasah Brentford. Kami bolos tujuh gol dalam tempoh lima hari dan saya fikir ini adalah satu amaran buat kami.
“Kami tidak boleh mengharapkan keputusan positif jika terus pamerkan prestasi sebegini dalam situasi mendesak ini. Sekarang semuanya terpulang kepada pemain,” katanya.
Jika menang ke atas Southampton di Stadium St. Mary malam ini, Chelsea akan melebarkan penguasaan di tempat ketiga dalam perebutan empat kelompok teratas untuk memburu tiket ke saingan Eropah musim depan. – AGENSI