PETALING JAYA- Selepas beberapa bulan kembali solo, aktres dan pengacara Yasmin Hani kini secara terbuka mendedahkan hubungannya dengan pelakon Alif Hadi.
Pendedahan tersebut dibuat Yasmin dan Alif apabila masing-masing memuat naik foto bersama kedua-dua anak aktres itu dalam Instagram semalam.
Menerusi kapsyen foto berkenaan, Yasmin dan anak-anaknya meluangkan masa berbuka puasa bersama Alif di sebuah hotel di ibu negara.
Dalam pada itu, Alif, 34, yang juga seorang duda dalam satu kenyataan mengesahkan mereka saling mengenali hati budi dan mula rapat beberapa bulan lalu.
Alif bagaimanapun mahu memenangi hati kedua-dua anak Yasmin terlebih dahulu sebelum memasuki ke fasa percintaan.
Sebelum itu, pada 2 April lalu, Alif memuat naik gambarnya di pantai bersama Yasmin berserta kapsyen: “I’m attracted to this one. (Saya tertarik kepada yang satu ini) berserta emoji hati.”
Terdahulu, Yasmi, 43, pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik, Sha’arin Mohamed Razali pada 2011 dan bercerai pada Disember tahun lalu.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6. – KOSMO! ONLINE