JOHOR BAHRU – Faktor arus deras menyebabkan kesemua empat penyelam yang melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing timbul di permukaan laut kira-kira 70 meter daripada bot.
Pengurus sebuah resort di Pulau Sibu Besar, Richard Wills berkata, mereka cuba memanggil pemandu bot terbabit namun tidak berhasil kerana hanya memerhati permukaan air berhampiran.
Katanya, keadaan arus juga menyebabkan jarak mereka dengan bot semakin jauh sehingga menyebabkan jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, mengambil keputusan untuk berenang ke arah bot bagi menarik perhatian mereka.
“Kami tidak menyangka cuaca yang pada awalnya baik dengan ombak berketinggian 1.2 meter bertukar menjadi detik hitam buat mereka.
“Tindakan Kristine menuju ke arah bot itu menyebabkan dia terpisah dengan tiga rakan lain. Mereka bertiga mengikat tali antara satu sama lain bagi mengelak tidak terpisah.
“Saya tidak menyangka mereka mampu bertahan selepas 62 jam berada di laut, ini (kejadian) sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang di sini.-KOSMO! ONLINE