RIYADH – Kerajaan Arab Saudi mengumumkan kuota seramai satu juta jemaah bagi musim haji tahun ini, lapor akhbar Arab New semalam.
Pengesahan kuota itu diumumkan menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman Twitter rasmi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sejak wabak Covid-19 melanda dunia dalam tempoh dua tahun ini, bilangan jemaah haji telah dikurangkan dengan agak banyak bagi mengelak jangkitan sewaktu menunaikan ibadah tersebut.
Jemaah haji pada tahun ini perlu berumur bawah 65 tahun dan mesti mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Semua jemaah haji juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang dilakukan dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.
Langkah tersebut bertujuan supaya jemaah dapat mengambil bahagian dalam ibadah haji sambil mengekalkan kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan Arab Saudi dalam memerangi pandemik Covid-19.
Peningkatan dalam bilangan jemaah haji pada tahun ini dibuat berdasarkan kuota yang diperuntukkan kepada negara-negara yang terlibat dengan mengambil kira protokol kesihatan.
Pada tahun lalu, Arab Saudi hanya menerima 58,745 jemaah untuk menunaikan ibadah haji.
Sebelum wabak Covid-19 menular, jumlah jemaah haji yang memasuki Arab Saudi selalunya melebihi dua juta orang. – Agensi