fbpx

UPSI capai kedudukan 201–250 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Buat julung kalinya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah tersenarai di dalam QS World Universiti Ranking by Subject (Education) 2022 pada kedudukan 201–250 dunia.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu adalah satu pengiktirafan antarabangsa kepada UPSI sebagai sebuah universiti yang berteraskan pendidikan dalam melahirkan insan guru yang berkualiti untuk negara.

Md Amin (kiri) dan Azmi memegang plak pencapaian di Pejabat Naib Canselor, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

“Pencapaian ini harus dibanggakan oleh seluruh warga UPSI dan alumni serta diharapkan UPSI mampu meningkatkan prestasi penarafan ini pada masa akan datang lebih-lebih lagi sedang menyambut sambutan 100 tahun pusat pengajian yang termasyhur ini.

“UPSI menawarkan pengajian pendidikan pelbagai bidang daripada tahap ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Pencapaian UPSI di dalam penarafan ini membuktikan UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di Malaysia,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebanyak 51 bidang disenaraikan oleh QS WUR by Subject 2022 dan indikator utama di dalam penilaian ini adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penyelidikan dan H-index.

Prestasi UPSI dalam penarafan QS WUR by subject (Education) 2022 adalah sejajar dengan Pelan Strategik UPSI 2021 – 2025 yang mengambil kira kebitaraan akademik, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi dan keunggulan graduan.

Dalam pada itu bagi Pengarah Jabatan Strategik, Prof. Madya Dr. Azmi Mohamed pula berkata, tahun lalu UPSI merangkul empat pencapaian World Ranking University yang membanggakan seluruh warga universiti.

“Pada tahun ini kakitangan UPSI akan terus bekerja keras merealisasikan pelbagai kejayaan sebagai pengisian sambutan 100 tahun yang sedang berlangsung sehingga 29 November depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI