PASIR MAS – Tembelang seorang lelaki membawa 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbongkar selepas kenderaan yang dipandunya itu terbabas di Kampung Perangkap, Bunut Susu di sini tengah malam tadi.
Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas melihat MPV jenis Toyota Alphard itu terbabas pada pukul 12.30 tengah malam semasa menjalankan rondaan rutin di lokasi berkenaan.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap MPV itu dan menemui 15 PATI warga Myanmar termasuk dua wanita di dalamnya.
Kesemua PATI yang berusia 22 hingga 38 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bertindak penghantar. Siasatan mendapati, kesemua PATI itu dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di Bakong.
“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengenakan upah RM200 bagi setiap PATI yang dibawa dan akan dihantar ke Machang untuk bekerja dalam sektor pembinaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE