ATLET gimrama negara, Koi Sie Yan mahu melakukan aksi terbaik menjelang Sukan SEA Hanoi, Vietnam sekali gus tekad mempertahankan pingat emas yang diraih sewaktu temasya 2019.
Atlet berusia 23 tahun itu mengakui segala persiapan berjalan dengan lancar dan yakin peluang skuad negara untuk menyapu dua pingat emas mampu direalisasikan.
Pada temasya kali ini, Vietnam hanya menyenaraikan dua kategori bagi sukan tersebut iaitu individu dan berkumpulan.
“Tahun ini hanya ada dua kategori dipertandingkan dan saya benar-benar yakin Malaysia mampu meraih pingat emas seperti disasarkan.
“Misi saya adalah mahu pertahankan pingat emas dalam disiplin all-around individu sewaktu di Filipina dan bagi saya bukan satu misi mustahil untuk melakukannya,” kata Sie Yan.
Sebagai persiapan, Sie Yan akan berlepas ke Baku, Azerbaijan untuk menjalani latihan sebelum terbang ke Hanoi pada Mei nanti.
Untuk rekod, sepanjang beraksi pada Sukan SEA, Sie Yan telah meraih lima pingat ketika memulakan debut di Sukan SEA Singapore (2015) sebelum menambah pingat emas di Kuala Lumpur (2017) dan Filipina (2019).
Menjelang Sukan SEA Hanoi, Malaysia menghantar seramai sembilan atlet gimnas iaitu tiga kategori individu dan enam dalam kategori kumpulan.
Pada Sukan SEA Manila, Filipina, Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat menerusi acara all-around berkumpulan, dan dua emas berjaya diraih Izzah Amzan, manakala Sie Yan raih emas dalam acara apparatus riben wanita.