fbpx

Rebut diskaun bayaran balik PTPTN sebelum hujung bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa untuk merebut peluang insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang akan berakhir pada 30 April ini.

PTPTN dalam satu kenyataan berkata, seramai 367,433 peminjam telah menikmati insentif diskaun bayaran balik ini melibatkan jumlah bayaran balik yang diterima sebanyak RM755.28 juta dengan jumlah diskaun yang diberikan sebanyak RM112.4 juta bermula 1 November 2021 hingga 28 Februari 2022.

Menurutnya, melalui pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam PTPTN dengan pemberian diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

“Sementara itu, insentif itu juga menawarkan diskaun sebanyak 12 peratus untuk bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

“Selain itu, PTPTN turut menawarkan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual,” katanya kenyataan itu semalam.

Tambahnya, pihak PTPTN berharap agar semua peminjam melaksanakan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman mereka bagi memastikan PTPTN dapat meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

Jelasnya, peminjam juga boleh membuat pembayaran melalui perbankan internet, JomPAY, MyPAY, Shopee, Portal Rasmi PTPTN (FPX) dan yang terkini melalui aplikasi myPTPTN.

“Bagi sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline PTPTN di 03-2193 3000 (beroperasi jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat), dan e-Aduan di https:/eaduan.ptptn.gov.my/,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI