MENGANGKAT tema penderaan terhadap golongan lelaki yang jarang didedahkan masyarakat merupakan satu tugas yang berat.
Memandang isu tersebut sebagai satu hal yang semakin meruncing, pengarah terkenal, Hadith Omar mengakui memikul tanggungjawab yang berat untuk memaparkan kes penderaan membabitkan suami isteri kepada para penonton.
“Tema tersebut bukan genre kebiasaan yang saya sering pertontonkan kerana isunya sangat sensitif dalam kalangan masyarakat.
“Jarang kita mendengar kisah suami didera dikongsi masyarakat kerana bagi mereka, perkara tersebut memalukan,” kata Hadith dalam sidang media virtual drama berkenaan baru-baru ini.
Bagi mendapatkan jalan cerita yang lebih realistik, Hadith juga banyak melakukan kajian tentang kes-kes melibatkan keganasan rumah tangga dan melibatkan fatwa dan hukum.
“Naskhah ini mencabar kreativiti saya untuk memberikan paparan visual yang bersesuaian untuk tayangan pada bulan Ramadan. Kami juga lakukan kawalan supaya sesuai ditonton pada bulan mulia.
“Untuk hasilkan naskhah ini, saya tak boleh ambil mudah atau sambil lewa. Oleh itu, saya banyak membaca mengenai cerita alam perkahwinan yang dikongsi orang ramai.
“Drama ini untuk mendidik para penonton mengenai isu penderaan dalam kalangan suami isteri. Keganasan bukan sahaja boleh berlaku kepada si isteri tetapi juga suami, namun jarang diketengahkan,” tambahnya panjang lebar.
Sebagai pengarah, Hadith juga meluahkan rasa bertuah kerana diberi kesempatan untuk bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat dan berjaya menjiwai setiap watak dengan cemerlang.
“Untuk drama ini, penonton akan rasa sangat benci dengan watak Hawa lakonan Emma Maembong dan Erfhan yang dipegang oleh Nadhir Nasar.
“Kedua-dua watak ini merupakan pelaku kes penderaan terhadap pasangan masing-masing. Penderaan yang mereka lakukan secara mental dan fizikal,” katanya lagi.
Sementara itu, pemegang watak utama iaitu Fikry Ibrahim yang menjayakan watak Adam berpendapat, kes melibatkan keganasan rumah tangga terhadap golongan suami sememangnya berlaku tetapi jarang diberikan pendedahan.
“Sebagai seorang pelakon, isu ini dikupas untuk memberi kesedaran kepada para penonton bahawa bukan hanya isteri tetapi golongan suami juga turut didera.
“Tanpa sedar, drama ini turut mengangkat subjek tentang isu kesaksamaan gender dalam kalangan masyarakat.
“Ramai yang berjuang untuk mendapatkan kesamarataan gender tetapi realitinya kita menolak hal tersebut.
Sama juga seperti kes dera, banyak perhatian diberikan terhadap kes suami dera isteri tetapi apabila berlaku terhadap golongan lelaki, kurang pula diberikan berhatian,” ujarnya lagi.
Nusyuz Berkiblat Cinta yang mula bersiaran pada Ahad lalu pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria dibintangi Emma, Fikry, Nadhir Nasa dan Shaza Bae.