NILAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu sebuah premis menjual aksesori kereta yang dipercayai membekalkan barangan tiruan bernilai RM32,410 di Taman Desa Cempaka, Nilai di sini semalam.
Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan melibatkan kekuatan enam anggota itu dilakukan pada pukul 2 petang hasil risikan pihaknya dan kerjasama dengan wakil cap dagang.
“Premis berkenaan dikesan membekalkan ‘speaker’ (pembesar suara) dan ‘subwoofer’ (sistem bunyi) yang disyaki menyalahgunakan satu cap dagang berdaftar terkenal.
“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui sebanyak 334 unit barangan tiruan tersebut bernilai RM32,410,” katanya ketika dihubugi di sini hari ini.
Menurut Ain Arjuna, sitaan terhadap kesemua barangan itu dibuat mengikut Seksyen 102(1) Akta Cap Dagangan 2019 untuk siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE