SAN JOSE, Costa Rica – Sebuah pesawat kargo DHL dalam perjalanan ke Guatemala yang mengalami masalah hidraulik, terbabas ketika melakukan pendaratan cemas, laporan akhbar Daily Mail.
Penerbangan D07216 itu terbang dari San Jose ke Bandar Guatemala semalam, namun terpaksa berpatah balik kira-kira sejam selepas berlepas dan mendarat semula di Lapangan Terbang Juan Santamaria sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan).
Semasa mendarat, pesawat berusia 22 tahun yang dilaporkan membawa bahan berbahaya itu terbabas sebelum membelok tajam ke arah kanan.
Kepulan asap keluar dari bawah tayar sebelum kapal terbang itu berhenti di kawasan tidak rata dengan percikan api keluar pada hujung ekornya.
Krunya hilang kawalan ke atas pesawat DHL tersebut semasa pendaratan cemas selepas kedua-dua topang gear runtuh.
Topang gear adalah mekanisme yang menanggung beban pendaratan.
Rakaman video menunjukkan sebahagian badan pesawat terputus, manakala jentera bomba pantas menyembur buih ke atasnya.
Dua anak kapal yang berada dalam pesawat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penerbangan selama 51 minit itu mencapai ketinggian maksimum 6,400 meter (21,000 kaki) sebelum berpatah balik kembali ke San Jose. – Agensi