SHAH ALAM – Penjawat awam di negeri ini akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena Aidilfitri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, BKK berkenaan bagi menghargai usaha serta komitmen para penjawat awam negeri yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memakmurkan negeri.
“BKK ini adalah kepada semua anggota perkhidmatan kerajaan negeri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Timbalan Speaker DUN, Ahli Dewan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
“Bayaran akan dilakukan pada 27 April depan dengan melibatkan implikasi kewangan
sebanyak RM39.15 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.
Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri bersetuju agar jumlah pembayaran bagi BKK yang dinamakan Insentif Rahmah Ramadan Selangor berjumlah RM1,000 itu turut meliputi
pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan/ Tersusun, Ketua Komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Jelas beliau, bagi Penggerak Belia Selangor (PeBs) sebanyak RM500 juga diperuntukkan kepada mereka dengan insentif ini akan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Penggerak masjid (Nazir, Imam, Siak dan Bilal) pula akan menerima RM500 menerusi Insentif Rahmah Ramadan Selangor ini atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan ini. Peruntukan akan disalurkan melalui program tanggungjawab sosial (CSR) anak syarikat kerajaan negeri,” katanya. KOSMO!ONLINE