KUALA SELANGOR – Hanya linangan air mata bagi menggambarkan perasaan sayu seorang pegawai bomba bantuan semasa mengangkat ibunya yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Terap, Kampung Sungai Yu di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, Norhamidah Kamar, 59, yang juga seorang guru meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan.
Anak mangsa, Muhammad Farid Arbak, 29, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada jirannya yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
“Pada waktu itu, saya tidak henti-henti berdoa dan terkejut melihat ibu terbaring atas jalan dengan ditutupi kain batik.
“Ssya pernah menguruskan lebih 20 jenazah sebelum ini, namun tidak menyangka saya mengangkat ibu sendiri semalam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang hari ini.
Menurut Muhammad Farid, kali terakhir dia menemui arwah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor pagi semalam.
“Masih terngiang-ngiang suara ibu mengejutkan saya untuk bersahur. Kami sekeluarga sempat berbuka puasa bersama-sama dan menunaikan solat sunat tarawih di surau.
“Saya tak sangka ini merupakan Ramadan terakhir kami bersama ibu dan ternyata Allah lebih menyayangi beliau,” katanya.-KOSMO!ONLINE