LONDON – Pengurus Everton, Frank Lampard menggesa barisan pemainnya supaya tidak terlalu awal mengibarkan ‘bendera putih’ dan terus berjuang untuk kekal dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun tewas 2-3 kepada Burnley awal pagi semalam.
Dalam aksi di Turf Moor itu, The Toffees gagal mempertahankan kedudukan 2-1 selepas meraih dua gol menerusi dua sepakan penalti Richarlison apabila membenarkan pasukan tuan rumah bangkit untuk mencatat kemenangan pada penghujung perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Everton kini semakin ‘tenat’ apabila kekal menghuni tangga ke-17 menerusi 25 mata selepas 29 perlawanan, hanya dibezakan satu mata dengan Burnley yang ketika ini berada dalam zon penyingkiran liga.
Lampard mengakui, anak-anak buahnya banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya terutama di separuh masa kedua sehingga membuka ruang buat Burnley bangkit melakukan serangan dan meraih dua jaringan selepas itu.
“Kami bermain dengan baik dalam babak pertama, namun situasi berbeza di separuh masa kedua. Barisan pemain gagal menunjukkan ketajaman yang diharapkan di hadapan gawang gol lawan seperti 45 minit pertama permainan.
“Malah, situasi itu turut dihukum apabila beberapa kesilapan yang dilakukan memberi ruang kepada Burnley untuk bangkit meledak dua gol. Jelas sekali para pemain seperti hilang keyakinan di atas padang.
“Saya amat berharap agar mereka tidak menyerah kalah kerana masih ada baki sembilan aksi lagi musim ini. Positifnya adalah kami masih di atas Burnley dan belum lagi jatuh ke zon penyingkiran liga,” katanya.
Sebagai rekod, Nathan Collins meledak gol pertama buat Burnley di separuh masa pertama sebelum Jay Rodriguez dan Maxwell Cornet memastikan kebangkitan The Clarets dengan dua gol dalam babak kedua. – AGENSI