GUA MUSANG – Seorang penjual nasi kerabu tetap berharap suaminya sembuh seperti sediakala meskipun kini terlantar koma di rumah mereka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini selepas terbabit kemalangan tiga tahun lalu.
Nur Syamsinar Sudin, 30, kerap menitis air mata mengenangkan nasib suaminya, Aziz Ibrahim, 32, sejak kejadian itu, namun tetap tabah menjaga lelaki tersebut sepanjang masa.
Menurut Nur Syamsinar, sebelum ini, suaminya yang bekerja sebagai jurujual kerusi urut terlibat dalam kemalangan di Tanah Merah dekat sini pada Januari 2019.
Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang Aziz terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkan lelaki itu mengalami pendarahan di kepala dan perlu menjalani pembedahan.
“Disebabkan kejadian itu, suami saya koma dan tempurung kepalanya terpaksa dibuang selain patah tengkuk dan dua pergelangan tangan.
“Selepas terlibat kemalangan, suami saya terpaksa menjalani pembedahan tiga kali di kepala dan tulang belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di RKT Kesedar Chalil semalam.
Terdahulu, Nur Syamsinar menerima kunjungan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) diketuai Pengurus Projek Sektor Kemiskinan, Muhammad Azri Abdul Jalil yang menyampaikan bantuan makanan kepada keluarganya.
Bercerita lanjut, Nur Syamsinar memberitahu, suaminya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan susu.
Tambahnya, bagi menampung perbelanjaan makan dan minum mereka sekeluarga termasuk seorang anak yang berusia lima tahun, dia menjual nasi kerabu.
“Saya tidak akan berputus asa berdoa agar suami kembali sembuh seperti sediakala meskipun mengambil masa yang lama.
“Kami sekeluarga berharap suami sedar suatu hari nanti kerana rindu untuk berpuasa dan menyambut hari raya bersamanya,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nur Syamsinar bernombor 162898032093 atau menghubungi wanita itu di talian 018-916 1237.