LONDON – Mikroplastik ditemui di dalam paru-paru manusia yang masih hidup untuk kali pertama sekali gus membuktikan bahawa kita menghirupnya dari udara, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Pasukan penyelidik Universiti Hull dan Sekolah Perubatan Hull York mendapati bahawa mikro plastik iaitu cebisan plastik halus berukuran kurang daripada 5 milimeter, berada di dalam bahagian paru-paru paling dalam.
Perkara itu sebelum ini dianggap mustahil kerana salur udara yang begitu sempit.
Walaupun partikel plastik telah ditemui dalam sampel mayat manusia sebelum ini, ini adalah kali pertama ia ditemui di dalam paru-paru manusia yang masih hidup.
Kajian itu disiarkan tidak lama selepas partikel mikroplastik ditemui buat kali pertama di dalam darah manusia, menyerlahkan betapa meluasnya pencemaran zarah plastik di dalam tubuh manusia.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science of the Total Environment itu mendapati terdapat 39 mikroplastik dalam 11 daripada 13 sampel tisu paru-paru yang diuji, Angka tersebut adalah jauh lebih tinggi daripada ujian makmal sebelumnya.
“Mikroplastik telah ditemui dalam sampel mayat manusia sebelum ini. Namun, ini kajian pertama menunjukkan bahawa mikroplastik berada di dalam paru-paru manusia yang masih hidup.
“Partikel pencemaran ini berada pada bahagian bawah paru-paru. Salur paru-paru sangat sempit jadi tiada siapa menyangka ia boleh sampai ke sana tetapi pencemaran itu nyata berlaku,” kata penulis utama kajian itu, Laura Sadofsky
Kajian itu menyusuli penyelidikan yang diterbitkan pada Mac lalu oleh Universiti Hull dan Sekolah Perubatan Hull York. Dalam kajian selama setahun itu, saintis-saintis merekodkan paras mikroplastik dalam atmosfera yang tinggi di sebuah lokasi berhampiran jalan raya yang sibuk di utara England.
Penyelidik-penyelidik mendapati mikroplastik yang paling banyak di alam sekitar adalah polietilena yang antaranya, berasal daripada pembungkusan plastik terdegradasi atau beg plastik, nilon dan resin.
Manusia boleh terdedah kepada partikel plastik menerusi pengambilan makanan laut dan makanan lain selain air minuman serta udara. – Agensi