fbpx

Klasiknya, Cha Cha Cinta jadi single pertama Yunadia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUNADIA

INILAH yang dinamakan rezeki tidak pernah salah alamat.

Tidak pernah mengalah dan sentiasa mempersembahkan bakat dalam pelbagai pertandingan nyanyian, pucuk muda, Yunadia, 21, akhirnya muncul dengan single berjudul Cha Cha Cinta.

Lagu hasil ciptaan komposer terkenal negara, Iqie Hugh, dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG) tersebut, sekaligus merealisasikan impiannya untuk memiliki single seterusnya bergelar penyanyi.

“Alhamdulillah, syukur dengan peluang yang diberikan oleh pihak AEG, cita-cita saya untuk muncul dengan single sendiri akhirnya tercapai.

“Terima kasih khasnya buat Datuk KK Chua kerana percayakan bakat saya sehingga dipilih menjadi artis bawah naungan AEG,” katanya memulakan bicara.

Menurut siswazah Jurusan Pendidikan (TESL), perjalanan seninya bermula sejak zaman kanak-kanak dan aktif menyanyi di sekolah dengan band yang dipanggil Kombo Cili Padi.

Paling membanggakan, dia dan band berkenaan pernah mewakili Malaysia ke Istanbul bagi menyertai sebuah festival muzik kanak-kanak bertaraf antarabangsa.

“Nyanyian sebenarnya bermula sebagai hobi tetapi lama-kelamaan bertukar menjadi sesuatu yang saya idamkan apabila dewasa.

“Saya sering menyertai pertandingan nyanyian di peringkat universiti, asalkan ada pertandingan, saya pasti cuba nasib.

“Sehinggalah pada satu hari saya menghadiri uji bakat The Audition yang dianjurkan oleh AEG, rezeki berpihak kepada saya apabila dipilih oleh pengarah tersohor, Michael Ang sebelum dilamar menjadi artis naungan AEG,” katanya lagi.

MENGIDOLAKAN Siti Nurhaliza dalam bidang nyanyian dan Hael Husaini bagi penciptaan lagu, Yunadia berharap berjaya seperti dua insan itu suatu hari nanti.

Berkongsi mengenai singlenya, Yunadia atau atau nama sebenar, Syazreen Yunadia Mazlan memberitahu, Cha Cha Cinta merupakan sebuah lagu romantis santai mengetengahkan irama cha cha yang sudah jarang kedengaran pada masa kini.

Alunan muzik yang relaks ditambah pula dengan paduan vokal mantap Yunadia, ternyata elemen tersebut berjaya menyuntik rasa moden dan kontemporari terhadap karya tersebut.

“Iqie mulanya terkejut apabila diberitahu saya sukakan muzik klasik seperti rentak cha cha. Hasil kepakarannya, terhasillah lagu ini dengan alunan muzik cha cha.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berada di studio rakaman, perasaan gembira, berdebar, semuanya ada! Macam tak percaya kerana apa yang saya impikan selama ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum rakaman, saya telah menjalani sesi latihan vokal bersama guru profesional, Cikgu Sarah Ismail yang disediakan pihak pengurusan,” tambahnya.

Bercerita tentang lirik, Yunadia memberitahu Cha Cha Cinta mempunyai mesej yang mudah difahami iaitu cubaan si gadis memujuk hati kekasihnya.

“Liriknya bercerita tentang si gadis yang memujuk buah hatinya dengan menyanyikan lagu cinta buat si jejaka dan akhirnya kembali menyatu,” ujarnya.

Ingin berjaya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kehebatan menghasilkan lagu seperti Hael Husaini, itu juga antara impian Yunadia sebagai anak seni.

“Saya mengidolakan mereka kerana kedua-duanya mempunyai pencapaian yang membanggakan sebagai anak seni.

“Perjalanan saya dalam bidang seni masih jauh, saya ibarat sebuah gelas kosong yang perlu diisi dengan air. Banyak lagi yang perlu saya pelajari.

“Semoga Cha Cha Cinta dapat diterima ramai dan memberi nafas baru dalam industri muzik kita dengan irama cha cha yang malar segar,” tuturnya.

Cha Cha Cinta boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengari menerusi aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI