BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan aksi konsisten dalam saingan jelajah dunia apabila mara ke pusingan suku akhir pada kejohanan badminton Terbuka Korea.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Palma, Suncheon semalam, Kian Meng-Pei Jing menyingkirkan gandingan tuan rumah, Na Sung Seung-Kim Min Ji menerusi kemenangan 21-11, 21-9.
Walaupun bertemu lawan mudah, namun Kian Meng menegaskan, dia dan Pei Jing tetap memberikan segala-galanya pada perlawanan itu bagi memastikan rentak permainan terbaik mereka musim ini.
“Perlawanan hari ini (semalam) bukanlah terlalu sukar tetapi kami tetap berikan yang terbaik kerana tidak mahu keyakinan itu hilang. Tidak kira dalam perlawanan apa pun, kami perlu bermain seperti biasa.
“Sasaran kami adalah untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir kerana prestasi kita sejak kebelakangan ini sangat konsisten apabila banyak melangkah ke suku akhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, prestasi beregu No.10 dunia itu boleh dikatakan agak baik tahun ini apabila berjaya melangkah ke pusingan suku akhir dalam semua kejohanan termasuk pada saingan Seluruh England (All England) dan Terbuka Jerman.
Justeru, Kian Meng berharap mereka dapat menampilkan aksi terbaik apabila turun menentang wakil China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong di peringkat suku akhir yang berlangsung hari ini.
“Menjelang perlawanan suku akhir esok (hari ini), kami akan cuba buat yang terbaik kerana mahu tamatkan badi suku akhir. Saya harap kami boleh mara lebih jauh dalam saingan kali ini,” ujarnya.