fbpx

Kes Covid-19 kuarantin di rumah dipantau secara virtual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau kes-kes yang berisolasi di rumah melalui Virtual Covid Assesment Centre (VCAC), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau melalui hantaran di Twitternya berkata, dalam fasa peralihan, hampir 98 peratus kes aktif Covid-19 hanya perlu berisolasi dirumah tanpa rujukan ke hospital.

Katanya, kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memastikan kebanyakan pesakit Covid-19 mengalami gejala ringan.

“Pemantauan ‘home isolation’ adalah penting kerana ada pesakit yang mengalami kemerosotan gejala yang perlu dirujuk ke hospital atau pusat rawatan (PKRC).

“Walaupun peratusan yang dirujuk rendah (<1%), pemantauan VCAC memberi ketenangan kepada pesakit dan data sebenar untuk KKM,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan VCAC itu dibuat melalui aplikasi MySejahtera di mana pesakit perlu mengisi ‘health assessment tool’ (HAT) dua kali sehari tentang gejala mereka.

“Lebih 70 peratus kes Covid-19 di rumah mengisi HAT setiap hari. Data ini diguna untuk mengenal pasti kes yang merosot dan perlu dirujuk ke hospital.

“Sekiranya data HAT pesakit menunjukkan kemerosotan ketara, notifikasi akan dihantar untuk memberi pilihan kepada pesakit untuk datang ke fasiliti kesihatan,” ujarnya.

Jelasnya, dalam fasa peralihan ke endemik, VCAC melalui MySejahtera tetap akan diteruskan.

“Ciri ini memberi ‘peace of mind’ kepada pesakit yang mengisi HAT & membolehkan pemantauan berterusan dibuat oleh KKM secara virtual tanpa berlaku kesasakan di CAC fizikal seperti dahulu.

“Untuk membantu Keluarga Malaysia B40 mengisi HAT dengan baik dan melakukan penilaian kesihatan kendiri, lebih 2 juta Pakej Perlindungan Covid-19 telah pun dihantar yang mengandungi pulse oximeter, thermometer, kit ujian dan pelitup muka. 1 juta lagi akan dihantar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI