PETALING JAYA – Celcom Axiata Berhad (Celcom) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan HeiTech Padu Berhad (HeiTech) bagi meneroka perkembangan dalam melengkapkan pasukan ambulans Malaysia dengan teknologi pintar bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, melalui kerjasama tersebut ia bakal menawarkan perkhidmatan ambulans pintar yang mana untuk mana-mana kes kecemasan, pasukan penjagaan kesihatan yang bertugas atau dalam transit ke hospital dapat memeriksa dan menghantar data kepada pakar profesional penjagaan kesihatan yang berada di hospital dengan penggunaan rakaman video masa nyata.
Ini akan membolehkan pasukan di hospital bersiap siaga sebelum ketibaan ambulan serta dapat membuat keputusan yang lebih baik dalam menyelamatkan nyawa.
Menurut beliau, ambulan pintar akan dilengkapkan dengan kamera berdefinisi tinggi (HD) dan teknologi berasakan kecerdasan buatan (AI) bagi memantau keadaan di dalam ambulans, termasuklah dari sudut pandangan pemandu.
“Kamera badan juga akan dilengkapi pada responden penjagaan kesihatan kecemasan supaya paparan bagi situasi pesakit tersebut dapat dilihat secara langsung dari pusat kawalan hospital.
“Ambulans pintar tersebut juga akan dilengkapi dengan sistem pengurusan fleet dan sistem pengesanan GPS bagi memantau dan mengawasi di mana keberadaan ambulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian MoU yang diwakili Idham Nawawi dengan Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu, Datuk Seri Mohd. Hilmey Mohd Taib.
Selain itu, Mohd. Hilmey menerangkan, Kumpulan telah menceburi bidang penjagaan kesihatan digital lebih daripada beberapa dekad yang lalu di mana sistem dan aplikasinya telah diguna pakai oleh hospital di seluruh negara.
Tambah beliau, sistem dan aplikasi yang dicipta oleh HeiTech telah banyak membantu menguruskan pesakit dan juga hospital dengan lebih baik serta meningkatkan kualiti penjagaan yang diberikan kepada rakyat.
“Kami teruja dengan kerjasama ini kerana Kumpulan akan dapat meneroka potensi besar 5G dalam penjagaan kesihatan digital,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE