SEREMBAN – Hanya kerana terpaut dengan kecantikan ‘maya’ Mei Ling dan janji manis yang ditabur kira-kira sebulan, seorang juruteknik kilang mengalami kerugian sebanyak RM222,473.15 melalui empat kali transaksi di kaunter bank.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd. Ghani berkata, mangsa lelaki berusia 45 tahun telah berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling iaitu doktor dari Yaman pada Januari lalu melalui messenger Facebook.
Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin terus berhubung dan setelah persahabatan terjalin, Mei Ling memberitahu mangsa bahawa satu bungkusan berisi wang USD 1 juta akan dihantar kepadanya.
“Bagaimanapun, mangsa perlu membuat pembayaran bagi penghantaran parcel tersebut.
Pada 18 Februari mangsa telah memasukan wang di bank berjumlah RM25,137 ke dalam akaun Cimb dengan nombor akaun 7009495279 atas nama Samizah Said.
“Pada 10 Mac, mangsa sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM60,650 ke dalam akaun yang sama dan pada 14 Mac mangsa sekali lagi memasukkan duit berjumlah RM60,000 ke dalam akaun Cimb nombor akaun 7071036931 atas nama Sellyhia.
‘Kedua –dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Aibee lagi, pada 28 Mac, Mei Ling telah memberitahu mangsa bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran sebanyak RM76,686.15 perlu dibuat bagi urusan tersebut.
“Pada 31 Mac, mangsa sekali diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM41,000 kerana bungkusan telah sampai di KLIA tetapi mangsa tidak lagi membuat pembayaran kerana tiada duit dan berasa telah ditipu oleh Mei Ling.
“Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Chambell 6 April lalu dan menyatakan Mei Ling juga ada mengajarnya untuk menjawab pihak bank bahawa duit-duit tersebut dimasukkan atas urusan membayar hutang, memberi perbelanjaan dan beri pinjaman agar pihak bank tidak mengesyaki apa-apa terhadap transaksi ini.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE