fbpx

JDT lebur rekod cemerlang KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DA SILVA (tengah) berjaya meledak dua gol ketika membantu JDT menewaskan KL City 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin. – SHIDDIEQIIN ZON

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) puas dapat meleburkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur City FC (KL City) di laman sendiri selepas menang 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Pada aksi tersebut, skuad Harimau Selatan tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan peluang menerusi jaringan Fernando Forestieri dan dua gol oleh Bergson Da Silva untuk mengetepikan cabaran pasukan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui tidak hiraukan rekod 23 perlawanan tanpa tewas skuad Warga Kota di laman sendiri sebaliknya percaya apa yang lebih mustahak adalah tiga mata berjaya diraih pasukannya.

“Rekod yang dicipta adalah untuk dipecahkan. Namun, saya tidak terlalu kisah dengan rekod mereka kerana apa yang penting kita dapat tiga mata dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dalam usaha memburu kejayaan.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan apa yang pasukan pamerkan kerana ini adalah aksi pertama kami selepas berehat panjang dan perlawanan ini juga tidak semudah yang di­sangka khususnya dengan kondisi padang tidak sempurna.

“Namun, kita tahu bagaimana cara dan taktikal KL City bermain dan kita kekal dengan corak permainan pasukan. Kali ini terbukti apa yang kita pamerkan lebih berkesan dan ini adalah sesuatu yang positif,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui tidak gembira dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Kenny Pallraj pada awal babak kedua.

“Saya tidak mahu memberi komen apa-apa (mengenai pengadil) tetapi apa yang boleh saya katakan keputusan layangan kad merah telah menjejaskan motivasi pemain.

“Tiada apa yang boleh saya katakan tentang barisan pemain kerana mereka sudah berikan yang terbaik di atas gelanggang dan aksi mereka lebih baik ketika kami tewas pada saingan Piala Sumbangsih bulan lalu.

“Apa yang pasti, kami tidak gembira dengan penilaian pengadil dan kami akan lakukan bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI