TIADA siapa di dunia ini yang mahukan dirinya ditimpa sebarang penyakit dan kalau boleh akan melakukan apa sahaja untuk menghindarkan diri daripada terkena musibah itu.
Begitu juga dengan virus Covid-19, tiada siapa yang menginginkan kehadirannya dalam kehidupan seharian, namun walau seketat manapun prosedur yang kita terapkan dalam kehidupan, kalau dah nak terkena, memang sukar dielakkan.
Hal ini kerana virus yang tidak kelihatan itu ada di sekeliling kita dan menunggu masa untuk menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina atau kaum.
Begitu juga dengan penulis yang selama ini hanya mendengar cerita daripada rakan-rakan yang dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah terfikir akan mengalami nasib sama.
Apabila isteri dan anak disahkan positif baru-baru ini, perasaan penulis sudah tidak keruan walaupun hasil ujian pantas (RTK) antigen adalah negatif.
Semasa ke pejabat sehari sebelum disahkan positif, penulis memaklumkan kepada rakan-rakan agar menjarakkan diri memandangkan penulis adalah kontak rapat kepada isteri dan anak di rumah.
Apabila tekak mula rasa perit, penulis semakin berasa tidak sedap hati dan terus melakukan ujian di klinik dan keputusannya seperti dijangka iaitu positif.
Tidak semena-mena fikiran mula melayang dan macam-macam benda masuk ke dalam pemikiran termasuk keluarga kenalan yang mengalami simptom seperti demam, sakit kepala dan cirit-birit yang teruk.
Alhamdulillah, penulis hanya mengalami sakit tekak serta sedikit batuk dan tidak mengalami simptom-simptom berat lain seperti kelesuan badan, demam, hilang deria rasa serta bau.
Mungkin simptom ringan atau kategori 2A bagi pesakit Covid-19 ini disebabkan amalan keluarga penulis yang sebelum ini amat menitikberatkan kesihatan termasuk pengambilan buah-buahan, vitamin C dan sebagainya dalam kehidupan seharian.
Ini ditambah pula dengan perlindungan daripada dua dos vaksin serta dos penggalak yang diterima sebelum ini.
Biarpun begitu, sakit tekak dan batuk yang dialami sedikit mengganggu kehidupan harian lebih-lebih ketika menghadapi kedatangan Ramadan.
Mujur sakit tekak dan batuk berkurangan dan hilang sedikit demi sedikit pada hari kelima kuarantin.
Biarpun mengalami simptom agak ringan, tetapi pergerakan tetap terbatas seolah-olah berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.
Apa yang penulis cuba sampaikan di sini adalah Covid-19 itu benar dan berusahalah mengelakkan daripada terkena jangkitan kerana kita tidak tahu berada dalam kategori mana.
Sebelum terlewat patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Banyakkan memakan buah-buahan yang memberikan perlindungan semula jadi kepada tubuh sebagai salah satu langkah pencegahan berkesan selain mengamalkan pemakanan sihat lain.