PETALING JAYA – Selection, butik popular yang menawarkan tas tangan dan aksesori berjenama popular dari luar negara, mampu memenuhi keperluan pelanggan melalui tawaran pelan pembayaran ansuran yang disediakan.
Pengasas syarikat, Nor Rafidah Khairuddin berkata, tawaran pembayaran ansuran sebanyak tiga kali itu bertujuan untuk membantu pelanggan yang tidak berkemampuan merancang kewangan masing-masing untuk memiliki barangan idaman masing-masing di butiknya.
Menurut beliau, pelanggan hanya perlu membayar deposit kali pertama dan seterusnya boleh memiliki barangan yang dikehendaki mereka.
“Ini bererti mereka tidak perlu lagi untuk menunggu sehingga bayaran akhir,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Inisiatif tersebut dibuat bersandarkan kepada pengalaman lalunya yang begitu berminat untuk memiliki tas tangan dan aksesori lain yang berjenama popular yang ditawarkan pada harga yang sangat mahal.
“Saya dulu pun tidak memiliki apa-apa dan hanya orang biasa sahaja, sebab itu saya sangat memahami keinginan mereka yang mahu memiliki barangan berjenama itu.”
“Banyak persoalan, banyak keraguan dan kadang-kadang rasa tidak percaya diri bahawa saya mampu pakai barangan berjenama dari luar negara,” jelasnya.
Nor Rafidah sebelum ini telah menetap di Montreal, Kanada selama lapan tahun dan bermula sebagai personnel shopper dan melalui usaha tersebut, beliau membantu ramai pelanggan dari Malaysia memiliki barangan idaman masing-masing.
Bermula di situ operasi perniagaannya terus berkembang selepas pulang ke tanah air.
Tambah beliau, perniagaannya kini bukan sekadar menjual barang semata-mata tetapi membantu pelanggan memiliki barangan berjenama mahal pada harga mampu milik.
“Saya percaya semua wanita dan lelaki sentiasa ingin kekal cantik, segak dan berketrampilan, namun mereka ada komitmen tertentu untuk berbelanja,” ujarnya.
Beliau sentiasa meletakkan dirinya di tempat pelanggan dan cuba membantu memberikan layanan, perkhidmatan dan informasi terbaik kepada mereka.
Kemudahan tersebut dapat diperoleh melalui laman web dan butik fizikalnya yang bertempat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE