KEMAMAN – Seramai 18 orang sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tengah, Chukai, di sini hari ini.
Pemilik rumah, Rahmat Noor Rahimullah Khan, 68, dan anak bongsunya, Abdul Karim, 28, cedera terkena serpihan bara api dalam kebakaran pada pukul 10.30 pagi itu.
Anak kesembilan mangsa, Abdul Rahim, 33, berkata, bapanya, Rahmat Noor melecur pada leher manakala kaki Abdul Karim pula melecur kerana terpijak serpihan bara api.
“Sewaktu kejadian, kami sekeluarga sedang berehat di bilik masing-masing sebelum saya perasan siling sebuah bilik telah terbakar.
“Saya yang panik terus keluar dari rumah sebelum menunggang motosikal ke Balai Polis dan Penyelamat Kemaman di sini terletak 100 meter dari rumah untuk meminta bantuan.
“Sepasukan bomba kemudiannya bergegas ke rumah kami untuk memadamkan kebakaran tetapi api terlalu marak,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, dia menyedari bapa dan adik bongsunya tercedera sebaik tiba semula di rumah sebelum mereka kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE