PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) dan AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) kini menawarkan perkhidmatan transaksi TH dalam talian menerusi aplikasi AmOnline.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata , aplikasi itu merupakan sebahagian daripada inisiatif terbaharu sebagai rakan strategik TH.
“Pelanggan AmBank atau AmBank Islamic yang memiliki akaun TH kini dapat melaksanakan sebarang urusan dalam talian pada bila-bila masa.
“Menerusi kerjasama ini juga, pendeposit boleh membuat pindahan simpanan antara akaun AmBank atau AmBank Islamic dan akaun TH, membuat pertanyaan baki akaun, serta mendapatkan penyata akaun TH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu katanya, perkhidmatan pendaftaran haji serta semakan status pendaftaran haji juga boleh dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian itu.
“Kerjasama strategik ini pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH di seluruh negara.
“Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta perbankan internet bank-bank rakan strategik TH yang lain sebelum ini di mana hanya 20 peratus transaksi dilakukan di kaunter,” ujarnya.
Katanya, dengan penyertaan AmBank Islamic sebagai Rakan Strategik terbaharu TH, pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan AmBank/AmBank Islamic sendiri.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan TH dalam usaha untuk mempelbagaikan rangkaian perkhidmatan perbankan kepada para pelanggannya.
“Kerjasama strategik ini merupakan inisiatif penting bagi AmBank Islamic dalam pelan digital kami untuk mempromosikan pelbagai tawaran perkhidmatan dalam talian kepada pelanggan dan rakan kongsi.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada TH atas sokongan dan keyakinan mereka untuk bekerjasama dengan AmBank Islamic. Kerjasama strategik ini berpotensi untuk memberi manfaat kepada 200,000 pengguna AmOnline yang memiliki akaun TH, yang kini boleh mengakses akaun TH mereka mulai 20 Disember 2021,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee berkata, AmBank Islamic komited untuk meneroka lain-lain peluang dan inisiatif bersama TH pada masa kini dan akan datang dalam usaha memperkemaskan lagi tawaran serta perkhidmatan kami yang dapat memanfaatkan pelanggan kedua-dua pihak. – KOSMO! ONLINE