fbpx

NATO jangka pencerobohan Rusia berterusan beberapa tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang disiarkan pada 3 April lalu menunjukkan bangkai sebuah pesawat perang Rusia yang ditembak jatuh di rantau Kharkiv. - AFP

BRUSSELS, Belgium – Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO),  Jens Stoltenberg kelmarin memberi amaran bahawa perang di Ukraine boleh berlanjutan selama ‘berbulan-bulan’ atau sehingga ‘beberapa tahun’, demikian menurut laman berita MainOnline kelmarin.

Ini kerana tiada tanda menunjukkan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin hilang minat  untuk menguasai seluruh Ukraine.

Bercakap menjelang mesyuarat menteri-menteri  luar NATO di Brussels Stoltenberg berkata, masyarakat antarabangsa harus ‘realistik’ tentang niat Moscow dan ‘sedar bahawa perang akan berlanjutan lebih lama’.

Beliau berkata demikian ketika perang Rusia-Ukraine memasuki hari ke-41 semalam.

“Kita perlu bersedia untuk jangka masa panjang, baik dalam aspek menyokong Ukraine, mengekalkan sekatan ke atas Rusia dan mengukuhkan pertahanan NATO,” katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Ukraine memberi amaran kepada orang awam di timur negara itu supaya melarikan diri atau berdepan risiko kematian. Ia berikutan tentera Rusia yang berundur dari beberapa lokasi di sekitar Kiev dan tempat-tempat lain, kini berkumpul semula, dipercayai untuk melancarkan serangan baharu di wilayah Donbas.

Menteri-menteri  luar NATO bermesyuarat lewat minggu ini untuk membincangkan penghantaran lebih banyak senjata ke Ukraine selepas Republik Czech menjadi anggota pertama blok berkenaan yang menghantar kereta kebal dan kenderaan infantri berperisai ke Kiev.

Anggota-anggota NATO sebelum ini hanya memberi bantuan peluru berpandu anti kereta kebal dan antipesawat, senjata ringan dan peralatan perlindungan kepada Ukraine tetapi tidak menawarkan senjata berat atau jet pejuang.

Penghantaran kelmarin itu adalah ‘hadiah’ yang dipersetujui oleh sekutu-sekutu NATO, namun, ia menimbulkan kebimbangan  blok itu akan diheret ke dalam perang Rusia di Ukraine.

Stoltenberg turut mengesahkan penghantaran senjata berat oleh NATO susulan laporan bahawa negara anggotanya, Republik Czech telah membekalkan kereta kebal era Kesatuan Soviet kepada Kiev.

“Sejak pencerobohan ke atas Ukraine, NATO telah meningkatkan sokongannya,” kata Stoltenberg.

Sejumlah kenderaan tempur infantri BVP-1, meriam howitzer dan lebih 12  kereta kebal T-72 dimuatkan ke atas gerabak-gerabak  kereta api menuju ke Slovakia di mana senjata berat itu kemudian akan dibawa masuk ke Ukraine.

Pada minggu lalu, tentera Rusia berundur daripada kedudukannya di luar Kiev dan menumpukan serangan ke kawasan jauh dari ibu kota Ukraine tersebut. Tentera Ukraine menyatakan, bandar kedua terbesar, Kharkiv yang terletak di timur laut negara itu bagaimanapun masih diserang.

Kremlin mengisytiharkan bahawa rantau Donbas kini merupakan keutamaan tentera Rusia. NATO percaya Moscow cuba menguasai keseluruhan Donbas yang terletak di timur Ukraine dengan tujuan mewujudkan koridor dari Rusia menuju ke Semenanjung Crimea.- Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI