NEW DELHI – Seorang warga emas di India dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menipu sebuah keluarga kaya dengan menyamar sebagai anak lelaki tunggal mereka yang dilaporkan hilang pada 1977, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Tertuduh, Dayanand Gosai mendekati pasangan Kameshwar dan Ramsakhi Singh yang tinggal di Nalanda, utara India dan mendakwa dia adalah anak lelaki tunggal mereka yang dilaporkan hilang, Kanhaiya Singh.
Kameshwar yang dianggap sebagai salah seorang tuan tanah terkaya pada zaman itu menerima Gosai ke dalam keluarganya dan tidak menghiraukan isteri dan lima anak perempuannya yang curiga dengan lelaki yang pada masa tersebut berusia 21 tahun.
Gosai hidup sebagai Kanhaiya selama 15 tahun dan menjadi pewaris kepada harta Kameshwar selepas ‘ibu bapanya’ meninggal dunia. Dia kemudiannya bertindak menjual semua harta demi keuntungan sendiri.
Kehadiran Gosai memecah belahkan keluarga Singh apabila Kameshwar nekad untuk mengekalkan ‘anak lelakinya’ dan menegaskan bahawa dia adalah Kanhaiya sebenar.
Ramsakhi berkeras menafikan Gosai anak kandungnya dan pergi ke mahkamah untuk mengusir Gosai tetapi kes itu berterusan selama beberapa dekad.
Rajesh Kumar yang merupakan peguam kepada Ramsakhi berkata, prosiding tertangguh disebabkan banyak faktor termasuk hakim kes meninggal dunia atau dipindahkan ke tempat lain dan juga saksi mati.
“Sehingga Ramsakhi meninggal dunia pada 1995, dia terus bertegas penipu ini bukan anak kandungnya,” kata Rajesh.
Pertuduhan ke atas Gosai diteruskan oleh anak sulung keluarga Singh, Divya yang akhirnya berjaya membuka semula kes dan menyabitkan ‘abangnya’ atas kesalahan penipuan dan penyamaran.
Gosai dikenakan hukuman penjara tiga tahun kerana pemalsuan identiti dan tambahan enam bulan lagi kerana konspirasi jenayah apabila berpura-pura menjadi Kanhaiya dan menyasarkan keluarga kaya. – Agensi