RANTAU PANJANG – Upah sebanyak RM1,700 yang diterima seorang lelaki untuk menghantar empat pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita untuk pulang ke Thailand tidak berbaloi apabila mereka dicekup semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah semalam.
Anggota Batalion 7 dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan suspek yang berperanan sebagai penghantar atau ‘transporter’ semasa suspek memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora kira-kira 9.15 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa MPV itu ditahan, kesemua PATI wanita berusia dalam lingkungan 29 hingga 38 tahun itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, lelaki warga tempatan itu mengambil keempat-empat PATI itu dari Pulau Pinang dan Selangor.
“Lelaki itu menetapkan bayaran sebanyak RM1,700 sebagai upah untuk menguruskan perjalanan membawa mereka keluar dari negara ini untuk pulang ke Thailand.
“Kami tidak menolak kemungkinan PATI itu akan dibawa keluar menggunakan laluan menerusi pangkalan haram sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya kawasan sekitar Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azhari memberitahu, PGA turut merampas MPV yang digunakan untuk mengangkut kesemua PATI, enam unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM4,643. – KOSMO! ONLINE