fbpx

‘Pulanglah bang, mama rindu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norrayaty menunjukkan gambar Muhammad Al Ashraff yang tidak pulang ke rumah sejak dua tahun lalu ketika ditemui di PPRT, Kampung Batu 17, Chembong, Rembau kelmarin.

REMBAU – Seorang ibu tunggal merayu kepada anak sulung­nya, Muhammad Al Ashraff Zulhisham supaya segera pulang ke pangkuan keluarga setelah menghilangkan diri sejak hampir dua tahun lalu.

Norrayaty Ariffin, 53, berkata, anak sulung daripada lima beradik berusia 28 tahun itu tidak pulang tanpa diketahui punca­nya selepas keluar dari rumah atas alasan mahu mencari kerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sehingga kini usaha keluarga untuk menjejaki Muhammad Al Ashraff masih tidak berhasil.

“Saya benar-benar merinduinya, lebih-lebih lagi apabila tibanya bulan Ramadan dan saya juga sangat tertekan kerana tidak mengetahui di mana anak saya sebenarnya berada sekarang.

“Kalau abang (Muhammad Al Ashraff) terbaca berita ini, hubungilah mama, mama nak sangat tahu keadaan abang,” katanya di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Kampung Batu 17, Chembong di sini kelmarin.

Norrayaty memberitahu, anaknya itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan ke­luarga, malah sanggup memberikan hampir keseluruhan gaji yang di­terima untuk keluarga.

Katanya, sejak tamat sekolah menengah lagi, Muhammad Al Ashraff telah membantunya berniaga makanan.

“Bayangkan, dia yang bergaji RM1,000 sanggup beri kepada saya RM700 kerana tidak mahu kami tidak cukup makan. Saya pula tidak boleh be­kerja lagi akibat penyakit systemic lupus erythematosus (SLE),” ujarnya.

Norrayaty berkata, mereka anak beranak sudah biasa hidup susah dalam kesusahan selepas berpisah dengan suami.

Menurutnya, mujurlah semua anaknya itu tidak pernah mera­gam sejak kecil walaupun kadang­kala hanya diberikan makan pucuk ubi ketika kecil.

“Saya kini masih lagi menja­lani rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI