fbpx

Proklamasi Darurat: Khairuddin gagal kembalikan saman pemula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairuddin (kiri) dan Muhyiddin.

PUTRAJAYA – Bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal untuk mengembalikan saman pemulanya berhubung nasihat yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan Proklamasi Darurat.

Keputusan itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Nordin Hassan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan notis rayuan tersebut.

Ia atas alasan notis rayuan itu tidak diserahkan kepada responden-responden dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan oleh mahkamah terdahulu.

“Kami berpendapat sekiranya notis rayuan gagal diserahkan kepada responden dalam tempoh masa yang ditetapkan ini bermakna rayuan tidak dibawa ke Mahkamah ini dalam tempoh yang dibenarkan sekali gus menjadikannya tidak kompiten untuk didengar dan wajar untuk dibatalkan,” kata Hakim Hanipah ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Tambah hakim itu, Khairuddin selaku perayu juga tidak pernah memfailkan permohonan lanjutan masa bagi penyerahan notis rayuan itu menjadikan tiada sebarang asas untuk Mahkamah Rayuan hari ini menggunakan budi bicaranya bagi membenarkan penyerahan di luar tempoh masa yang ditetapkan.

Pada prosiding hari ini, panel terbabit turut memerintahkan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu untuk membayar kos RM5,000 kepada responden.

Pada 24 Ogos 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan kerajaan dan Muhyiddin untuk membatalkan saman pemula Khairuddin yang mencabar tindakan bekas Perdana Menteri itu menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan Covid-19.

Khairuddin memfailkan saman pemula itu pada 18 Januari 2021 antara lain memohon mahkamah memutuskan empat persoalan undang-undang dan keperlembagaan berhubung proklamasi darurat berkenaan.

Pada 23 Jun 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk merujuk empat persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 Januari 2021, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Muhyiddin, pada hari sama menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat itu bagi seluruh negara mengikut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan terancam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI