SHANGHAI – Penduduk yang menjalani perintah berkurung Covid-19 di bandar Jiuting, Shanghai diberi amaran oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan supaya tidak menyanyi sepanjang tempoh kuarantin, lapor portal Mothership.sg, semalam.
Amaran itu dinyatakan menerusi dron pemerintah yang diterbangkan ke kawasan kejiranan.
“Kepada semua penduduk, sila patuhi semua peraturan sekatan Covid-19 dan kawal perasaan untuk keluar bebas seperti biasa.
“Jangan buka tingkap atau menyanyi,” demikian amaran yang dikeluarkan.
Pengumuman dron itu juga menyatakan, perbuatan menyanyi boleh meningkatkan risiko penyebaran virus.
Pengguna laman sosial Weibo meluahkan kemarahan mereka terhadap pengumuman dron itu dan berkata, penduduk menjerit meminta bantuan bekalan makanan dan bukannya menyanyi.
Sebilangan yang lain juga mengadu bahawa perintah berkurung yang ketat telah menghalang sumber bantuan asas daripada dihantar ke kawasan berkenaan.
Meskipun penduduk telah menghubungi pihak berkuasa tempatan setiap hari, mereka tidak menerima sebarang maklum balas. – Agensi