KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau penggunaan lampu ‘strobe light’ pada kenderaan persendirian yang kerap menjadi rungutan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Terdapat juga beberapa kes yang mana pemilik kenderaan menggunakan ‘strobe light’ mengambil kesempatan berlagak seperti pegawai penguat kuasa ketika berada di atas jalan raya.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu tersebut dan pihaknya sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terbabit telah dikenal pasti.
“JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah ‘strobe light’ pada kenderaan persendirian merupakan satu kesalahan.
“Pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jika disabitkan kesalahan individu terbabit boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Menurut Kaedah 9 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hanya kenderaan dalam tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan JPJ dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada. – KOSMO! ONLINE