MERSING – Polis yakin tiga lagi penyelam warga asing yang masih hilang sejak semalam ketika melakukan aktiviti selaman di Pulau Tokong Sanggol di sini mempunyai potensi tinggi untuk ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman penyelam tersebut selain kelengkapan yang dipakai sebelum hilang.
“Berdasarkan keterangan mangsa (yang ditemui), tiga mangsa lain berjaya timbul dengan kelengkapan yang ada serta pengalaman.
“Saya percaya peluang untuk jumpa mereka dalam keadaan hidup adalah besar,”katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini hari ini.
Cyril Edward memberitahu, beliau bagaimanapun bimbang dengan faktor lain yang menggugat peluang itu antaranya dehidrasi, hipotermia dan cuaca buruk.
Siasatan awal ke atas mangsa yang selamat, Kristin Grodem, 35, mendapati ketika kejadian kesemua penyelam hanyut dibawa arus kuat.
“Mereka menyelam di dasar laut kemudian naik ke permukaan air. Selepas itu membuat selaman kali kedua dan naik kembali selepas 20 minit, namun disebabkan arus kuat, mereka terpisah dan hanyut.
“Mereka ada berinteraksi selepas timbul kali kedua dan cuba memanggil tekong bot tetapi tidak dengar kerana telah dihanyutkan lebih kurang 500 meter dari lokasi kedudukan bot,” katanya. -KOSMO! ONLINE