KLANG – Pas didakwa sebagai sebuah parti menderhaka susulan seorang pemimpin yang ditamatkan tauliah menyampaikan takzirah di sebuah masjid di Rawang, dekat sini kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan berkata, anggapan derhaka itu ekoran jelas melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau tidak terlibat dengan ceramah agama Islam oleh pemimpin dan aktivis politik tidak bertauliah.
Katanya, pemimpin pas tersebut iaitu Ahmad Dusuki Abdul Rani dari Pas yang telah ditamatkan tauliah mengajarnya sebelum ini telah menyampaikan takzirah selepas solat Isyak di masjid Nurul Iman itu.
“Selama ini pemimpin Pas menuduh kami pemimpin Pakatan Harapan (PH) menderhaka kepada Sultan Selangor tetapi hari ini jelas menunjukkan kepada kita, Pas adalah parti yang derhaka kepada titah Sultan Selangor.
“Sebab dia (Ahmad Dusuki) sudah ditamatkan tauliahnya. Dia tahu tauliahnya telah tiada tetapi apabila dia melanggar titah baginda, kami sebagai rakyat Selangor tidak boleh berdiam diri kerana dia telah melanggar titah Sultan kami,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum bantahan bersama ahli kariah Masjid Nurul Iman Rawang yang diterima wakil pihak Istana Alam Shah, Abdul Kadir Safwan.
Sementara itu, Ketua Kampung Kenangan, Rawang, Syukria Yahya berkata, pihaknya berharap tindakan tegas diambil terhadap Ahmad Dusuki dan Nazir Masjid Nurul Iman Rawang yang membenarkan pemimpin politik tidak bertauliah memberi tazkirah Ramadan di masjid tersebut. -KOSMO!ONLINE