JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM40,000 terhadap 61 penjual ayam di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan melibatkan tiga kesalahan iaitu gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink plate), melebihi harga jualan dan tidak mempamer harga jualan.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat selepas pihaknya melakukan 2,900 pemeriksaan melibatkan 2,852 pemeriksaan di peringkat peruncit manakala 48 pemeriksaan di peringkat pemborong.
“Pemeriksaan yang dijalankan seramai 200 pegawai penguatkuasa itu melibatkan pasar basah, pasar awam, pasaraya dan juga pembekal seperti pemborong, peladang, pengeluar dan pengimport di seluruh negeri.
“Selain itu, KPDNHEP Johor juga mengeluarkan 60 notis kepada peniaga di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi menjalankan siasatan sama ada wujudnya sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya komited dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat dimana pelbagai langkah telah dilaksana bagi memastikan harga barangan berpatutan dan stabil.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan beberapa peniaga ayam mengambil kesempatan dengan menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.
Dalam laporan berkenaan, ada antara mereka meletakkan harga sehingga RM10 sekilogram dengan memberikan alasan mereka menerima ayam segar berkongsi pada harga RM8.60, selain turut perlu membayar kos pengangkutan. -KOSMO! ONLINE