fbpx

Kemilau Olivia Rodrigo, kemanisan Grammy ke-64

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OLIVIA RODRIGO

ANUGERAH Grammy yang melabuhkan tirai penganjuran edisi ke-64, di Las Vegas, MGM Grand Garden Arena, Amerika Syarikat (AS), Isnin lalu, menyaksikan dua pendatang baharu, Jon Batiste dan Olivia Rodrigo menyerlah dengan pencapaian unggul masing-masing.

Batiste membawa pulang trofi utama, Album Terbaik menerusi diskografi We Are dan empat trofi lain, sementelah Rodrigo pula bersayap indah dengan tiga trofi termasuk Artis Baharu Terbaik.

Turut cemerlang, Silk Sonic yang dianggotai Bruno Mars dan Anderson Paak menyapu bersih kesemua empat pencalonan kategori yang diterima iaitu Lagu, Rakaman Lagu, Persembahan R&B dan Lagu R&B Terbaik.

Kemenangan Rodrigo atau nama sebenarnya, Olivia Isabel Rodrigo sebenarnya sudah boleh dijangka. Dia bukan hanya melahirkan sebuah album berkualiti berjudul Sour, bahkan karya berkenaan juga antara terlaris tahun lalu dari segi jualan fizikal mahupun digital.

Biarpun Sour mencetuskan sedikit kontroversi apabila didakwa ‘menciplak’ beberapa karya asal yang dikaitkan dengan Taylor Swift dan Paramore, kemenangan yang diraih barangkali membuktikan sesuatu dan memadam suara-suara sumbang yang berteriak sebelum ini.

AKSI Olivia Rodrigo ketika mendendangkan single popularnya, Drivers License.

Mahu jadi atlet Olimpik

“Terima kasih kepada pihak Grammy. Ini merupakan impian terbesar saya yang menjadi kenyataan. Terima kasih sangat-sangat,” ujar pelantun lagu Drivers License itu saat memberi ucapan menerima trofi Artis Baharu Terbaik.

Kemenangan berganda Rodrigo tidak akan berlaku tanpa restu daripada insan tersayang iaitu ibu bapanya. Saat menerima trofi Album Vokal Pop Terbaik, penyanyi muda berusia 19 tahun itu mendedikasikan kejayaan yang dikecapi buat orang tuanya.

“Saya ingin mendedikasikan anugerah ini buat kedua ibu bapa saya. Ketika saya berusia sembilan tahun, saya beritahu ibu yang saya nak jadi atlet gimnastik Olimpik walaupun saya tak pandai langsung lakukan cartwheel (lompat putar).

“Dia (ibu) fikir saya bergurau tapi saya sangat defensif ketika kecil. Minggu berikutnya, ketika saya beritahu yang saya nak menang Grammy, dia sangat teruja.

“Saya percaya dia mungkin ingat saya sekadar budak kecil yang suka menyanyi dan bermimpi.

“Justeru, saya nak ucapkan terima kasih kepada ibu kerana sentiasa percaya, tidak kisahlah betapa gilanya impian saya.

“Mereka sentiasa percayakan saya. Kemenangan ini untuk kalian dan berlaku disebabkan kalian,” ujar Rodrigo.

MENANG dua trofi, Gaga memberi persembahan memukau menerusi lagu Love For Sale dan Do I Love You.

Ucapan inspirasi Jon Batiste

Pemenang anugerah Album Terbaik, Batiste atau nama lengkapnya, Jonathan Michael Batiste pula memberikan ucapan kemenangan yang sangat berbekas dalam hati audiens.

Katanya, muzik bersifat subjektif dan sesiapa yang membikin seni tersebut me­rupakan pemenang.

“Seni kreatif itu subjektif dan menyelinap masuk ke hati orang apabila sangat-sangat memerlukan.

“Macam sebuah lagu atau album dihasilkan mempunyai radar untuk mencari orang yang memerlukannya.

“Apa pun, terima kasih kepada Tuhan. Saya bekerja keras dan saya sangat mencintai muzik.

“Saya main muzik sejak usia kecil dan bidang ini bukan hanya berbentuk hiburan buat saya, ia amalan rohani,” ujarnya.

JON Batiste menepati ramalan apabila dinobatkan pemenang trofi idaman ramai, Album Terbaik menerusi diskografi ikonik berjudul We Are.

Dinamakan sebagai pemenang anugerah utama, Batiste turut memberi ‘kredit’ kepada semua calon lain dan menyuntik semangat untuk terus melakukan yang terbaik serta jujur dengan karya seni ma­sing-masing.

“Setiap artis yang dicalonkan dalam kategori ini disayangi dan punya pengalaman buat muzik.

“Pesanan ini untuk semua yang jujur dengan karya mereka. Ayuh kita teruskan bergerak ke hadapan. Jadilah diri sendiri dan itu paling penting,” luah Batiste saat menerima trofi kemenangan.

Dedah jejaka itu, kebanyakan ahli keluarga turut terlibat dalam pembikinan album We Are termasuk datuk, anak buah dan bapanya.

GAGA dan ahli kumpulan BTS, V bertemu dan bergambar buat kali pertama di pentas Grammy Awards.

Gaga baik hati, SZA bertongkat

Seperkara yang lagi yang menjentik motivasi agar pengkarya terus melahirkan muzik berkualiti terpamer apabila SZA dan Doja Cat dinobatkan sebagai pemenang trofi

Persembahan Kumpulan/Duo Pop Terbaik menerusi lagu Kiss Me More.

Apa yang menarik perhatian audiens adalah ketika diumumkan sebagai pemenang, SZA hadir bertongkat dibantu rakan seperjuangan yang lebih ‘senior’ iaitu Lady Gaga.

Gaga sempat ‘membetulkan’ gaun digayakan SZA sehingga penyanyi kulit hitam itu berjaya naik ke pentas.

“Saya tak pernah buang air kecil sepantas ini sepanjang hidup. Terima kasih untuk semua orang saya sangat-sangat menghargainya.

“SZA, anda adalah segala-galanya buat saya, anda hebat dan anda adalah epitome bakat besar dan penulis lirik hebat.

“Saya tak ambil peduli tentang banyak perkara tapi ini (menang Grammy) merupakan perkara yang besar,” ujar Doja memberi apresiasi buat rakan duetnya dalam keadaan teresak-esak.

DOJA Cat dan SZA tidak menyangka menang anugerah Vokal Berkumpulan/Duo Pop Terbaik.

Doja seakan-akan tidak percaya dia kini sudah berjaya memegang trofi berprestij tersebut.

Grammy Isnin lalu turut menyaksikan banyak persembahan pentas luar biasa, termasuk Gaga yang menang dua anugerah. Mendendangkan lagu Love For Sale dan Do I Love You, Gaga memberi tribute kepada rakan duet, Tony Bennett yang sudah bersara.

Diva pop itu terus memberi bukti konkrit bahawa dirinya bukan calang-calang. Sepanjang penganjuran Grammy, Gaga pernah menang pelbagai genre muzik, termasuklah electronic dance music (EDM), pop, country dan jazz, sekali gus membuktikan versatilitinya sebagai seorang penghibur.

Grammy Awards ke-64 dihoskan oleh pengacara, Trevor Noah. Acara hiburan di AS kembali seperti keadaan pra-pandemik Covid-19 apabila audiens di negara Uncle Sam itu beransur-ansur tidak lagi memakai pelitup muka, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard demi mengelakkan penularan jangkitan virus yang masih belum berpenghujung.

SILK Sonic yang dianggotai Bruno Mars dan Anderson (kiri) menyapu bersih keempat-empat pencalonan yang tertera nama mereka termasuk Lagu Terbaik menerusi antem, Leave The Door Open.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI